Make your own free website on Tripod.com
 
 
TEKS UCAPAN HARI GURU
PERINGKAT DAERAH, 1998
OLEH PPD BATU PAHAT.

  
 
1. Terlebih dahulu saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada Tuan Haji Kasmuri bin Sadiman, Tuan Timbalan selaku pemangku Pengarah Pendidikan Johor kerana sudi melapangkan masa dan menerima jemputan kami untuk berada bersama-sama dengan warga pendidik daerah Batu Pahat dalam perhimpunan perdana yang diadakan buat kali kedua dalam sejarah di Batu Pahat. Kehadiran tuan amat bermakna dan menjadi dorongan kepada warga pendidik Batu Pahat seramai 4,446 orang semuanya yang menyambut Hari Guru hari ini. 
 2. Perhimpunan seluruh warga pendidik pagi ini adalah berasaskan satu penghargaan yang setinggi-tingginya diberikan atas jasa dan pengorbanan guru yang tidak ternilai oleh pihak kita oleh PPD dan pihak sekolah-sekolah kerana hari ini kita telah mengambil cuti peristiwa bagi merayakan Hari Guru bersama. Dengan perhimpunan seperti ini melambangkan perpaduan dan sokongan seluruh warga pendidik terhadap usaha dan langkah Kerajaan, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Johor dalam usaha menangani kegawatan ekonomi yang sedang kita alami kini. Bagaimanapun 'Hard times should make you better and not bitter.' Sebenarnya 'Bermacam-macam peluang terdapat pada waktu bermasalah.. waktu bagus itu bagus tetapi waktu teruk itu adalah lebih bagus' (Matsushita) 
3. saya mengambil kesempatan ini bagi merakamkan jutaan terima kasih kepada AJK Sambutan Hari Guru yang telah menyediakan atur cara sambutan peringkat daerah secara sederhana dan berhemah sebagai langkah penjimatan tetapi meriah dan amat menarik. Aktiviti-aktiviti utama yang kita adakan berulang tahun seperti betapa prihatin dan penyayang sifat guru kepada golongan yang kurang bernasib baik. Wajarlah kedua-dua aktiviti ini diberikan peruntukkan perbelanjaan yang besar.
4. Dalam perhimpunan ini kita juga meraikan rakan yang telah tamat perkhidmatan dan banyak berjasa, menghargai rakan-rakan yang masih berkhidmat dan rakan-rakan yang banyak komitmen dalam tugas mereka seperti guru aktif, inovatif dan kreatif. Kita juga menonjolkan rakan-rakan guru yang berbakat yang mempersembahkan Surat Kapal dan Koir pada hari ini. Semoga mereka yang disebut menjadi contoh dan inspirasi kepada semua warga pendidik. Namun begitu, lebih ramai lagi 'unsung heroes' di kalangan mereka yang telah berbakti dan masih berkhidmat yang tetap kita hargai dalam majlis seperti ini.
5. Hari ini adalah hari yang amat penting bagi kita semua oleh kerana perhimpunan perdana ini diadakan di tempat yang penuh bersejarah. Pertama, kita berada di sekolah yang tertua di Batu Pahat. Kedua, kita berada di sebelah Pejabat Pendidikan Daerah baru yang masih dibina. Tentunya apabila siap nanti, ia akan menjadi kebanggaan kita kerana dapat membina sejarah sebagai PPD Siber ayang pertama di negara ini.
6. Hari ini kita juga berpeluang menyaksikan bahan-bahan pameran guru yang ditempatkan buat kali pertama di bangunan Persatuan Sejarah Batu Pahat. Pameran ini akan berlangsung selama 5 hari. Ini berkat kerjasama dan sokongan Persatuan Sejarah Batu Pahat. Fokus pameran kita adalah kepada hasil seni, tokoh guru dan hasil pertandingan guru wanita. Ia harus menjadi bahan tontonan keluarga pendidik dan ahli masyarakat yang mendapat menilai dan menghargai usaha guru dengan lebih dekat.
7. Laman Tempatan PPDNet kita akan dirasmikan oleh tetamu kehormat kita pada hari ini. Wajah baru PPDNet yang kita highlightkan mendapat ide dan inspirasi dari ahli-ahli Kelab PPDNet yang baru ditubuhkan. Kita mempunyai peluang bagi melangkah bersama-sama dengan sekolah-sekolah di Batu Pahat untuk meningkatkan literasi komputer dan perluasan penggunaan e-mail. Kita juga mempelajari dari pengalaman River Oaks Public School, Kanada untuk menyediakan sekolah dan bilik darjah bagi abad ke-21. Gunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk mengunjungi tempat pelancaran dan laman web nanti.
8. Selaku Pengerusi Sambutan Hari Guru peringkat daerah, saya menyeru warga pendidik sekalian untuk menghayati tema Hari Guru tahun ini. Kitalah yang bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti di sekolah. Pelajar kita di bangku sekolah adalah generasi muda yang harus dibentuk peribadinya seperti kehendak FPN. Kita perlu menyedari hakikat bahawa guru tidak akan berjaya mencapai matlamat pendidikan tanpa kerjasama pihak lain dan untuk mendapatkan kerjasama, kita sendiri perlu mengamalkan budaya dan tanggungjawab bersama baik di dalam bilik darjah serta sekolah maupun di luar sekolah.
9. Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Timbalan kita, tetamu yang kita raikan, warga pendidik yang turut menjayakan sambutan kita. Kepada berbagai-bagai pihak yang memberi sumbangan, seperti Pejabat Penerangan, MILO dan sebagainya, yang tidak dapat saya sebut satu persatu, amat kita sanjungi. Penghargaan khas kepada AJK Sambutan yang bekerja kuat sehingga saat-saat terakhir. Kejayaan sambutan ini adalah kejayaan kita bersama kerana kita yang memikul tanggungjawab kita bersama.
 

 
Home