Make your own free website on Tripod.com
 
 
TEKS UCAPAN HARI GURU
PERINGKAT DAERAH, 1998
OLEH 
PEMANGKU PENGARAH PENDIDKAN JOHOR.

  
 
Tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan detik yang membawa erti yang mendalam kepada guru-guru di seluruh negara. Sambutan Hari Guru menjadi lebih meriah lagi pada tahun ini kerana sudah 27 tahun usianya ia dirayakan. Sambutan Hari Guru sesungguhnya menyatakan penghormatan dan penghargaan masyarakat dan negara kepada kaum guru di atas khidmat mereka dalam memberikan didikan dan pimpinan kepada generasi muda. Pengiktirafan terhadap jasa guru menunjukkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap komitmen dan kewibawaan guru menyumbang ke arah pembangunan negara. 
 
 Saudara-saudari sekalian, 
            Abad ke-21 merupakan satu cabaran kaum guru bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan profesion keguruan. Sejauh manakah seorang guru atau kakitangan pendidikan dapat memuaskan tuntutan dan keperluan pelanggannya, bergantung kepada sejauh manakah tingginya kualiti perkhidmatan yang bakal dicurahkan. Arus pembangunan masa kini mendesak peningkatkan kualiti dalam semua bidang perkhidmatan dan sosial. Fenomena ini sudah tentu akan meningkatkan lagi tuntutan sosial ke tahap kualiti perkhidmatan yang cemerlang dalam profesion keguruan. Satu harapan masyarakat yang jelas ialah bahawa guru dan kakitangan pendidikan akan dapat memberikan ilmu pengetahuan bermutu, kemahiran ayang pelbagai serta memupuk sikap yang lebih positif di kalangan pelajar demi kemajuan anak, bangsa, agama dan negara. 
           Para pendidik perlu menghayati cetusan rasa dan cita-cita yang terkandung di dalam Misi Kementerian Pendidikan, iaitu untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti. Apa yang terkandung di dalam misi itu jelas merupakan usaha untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Penekanan terhadap aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah menjurus kepada usaha melahirkan rakyat yang berkualiti. Jasmaninya sihat, berbakat, berdikari dan berusaha. Emosinya tenang, terkawal, berkasih sayang dan bersatu padu. Rohaninya bersih, berdisiplin, berakhlak, bersyukur dan menginsafi adanya pencipta. Inteleknya mempunyai daya kemahiran berfikiran kreatif dan memanfaatkan ilmu. Pendek kata, cetusan di dalam falsafah pendidikan itu, jelas dan tidak dapat dinafikan lagi ingin membawa pendidikan masa kini sebagai agen untuk melahirkan rakyat berkualiti. Dengan kualiti yang ada, rakyat dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. 

Para pendidik yang saya muliakan, 
             Dalam usaha untuk mencapai matlamat wawasan, peningkatan kualiti di kalangan masyarakat pendidik haruslah dijadikan agenda penting. Ia dimulakan dengan perancangan, pelaksanaan dan perkhidmatan yang berkualiti. Cabaran utama guru-guru ialah usaha untuk membina wawasan diri yang sehala dengan wawasan pendidikan dan wawasan negara. Guru-guru perlu mempunyai perspektif yang jelas tentang matlamat pendidikan di samping memahami Falsafah Pendidikan Negara. Mereka harus meningkatkan kualiti peribadi supaya lebih inovatif, kreatif, berdisiplin dan beriltizam. Mereka perlu sentiasa menilai diri sendiri dari semasa ke semasa dan sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dan anjakan paradigma melalui penerokaan-penerokaan yang mencabar sifatnya. Di samping itu, pendidik yang berkualiti harus sentiasa ingin belajar untuk mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sekiranya, guru terus belajar dengan sistematis, pengajaran akan menjadi suatu pengalaman yang sungguh menyenangkan dan menyeronokkan. Sikap ingin terus belajar ini akan menjadi teladan kepada pelajar-pelajar, terutamanya melalui kerajinan dan amalan membaca yang ditunjukkan oleh guru-guru mereka. 

Saudara-saudari yang dihormati, 
           Peranan guru ialah sebagai pendidik, pemipin dan pengasuh. Untuk memperolehi kenahiran ini, ia memerlukan persediaan yang rapi dan berterusan supaya perkembangan personaliti pelajar dapat ditingkatkan. Kualiti yang menjadikan seorang guru yang positif ialah keazaman mencapai kejayaan, berfikiran luas, berjiwa besar, berpandangan jauh, berminat tinggi untuk menjalankan tyugas, bersungguh-sungguh tanpa putus asa, berani atas kebenaran, beriman, beramal dan bertanggungjawab. Jika kualiti-kualiti ini dapat dicipta dan dimiliki, sudah tentulah nilai-nilai budaya kerja positif dapat ditanam dan disuburkan, sehingga akhirnya pelajar-pelajar dapat dituntun ke arah mercu kecemerlangan dalam pendidikan. Oleh yang demikian, kita tentulah dapat membawa pendidikan negara ke arah mertabat yang mulia. 
          Sesungguhnya negara kita sudah cukup bersedia ke arah impian ini. Dari segi infrastruktur dan logistik pendidikan, ratusan juta ringgit telah dibelanjakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan yang berkualiti dan canggih. Kurikulum kita telah banyak mengalami perubahan untuk menyesuaikannya dengan tuntutan negara dan dunia. Akta Pendidikan telah digubal supaya ia dapat melicinkan lagi jentera ke arah memartabatkan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan pendidikan antarabangsa. Taraf profesion pendidikan telah dipertingkatkan dari semasa semasa, termasuklah dari segi perjawatan, latihan dan kemahiran, R&D, kebaikan guru-guru dan pelajar-pelajar, aspek pengukuran dan penilaian, dan berbagai-bagai usaha lagi. Usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan ini telah dan sentiasa akan dilakukan untuk mempastikannya agar bersifat kompetitif dan berdaya maju serta menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Pada masa sekarangpun, sistem pendidikan kita telah menjadi 'benchmark' kepada banayak negara dunia yang ingin mempelajari rahsia kejayaan sistem kita. Dewasa ini, semakin banyak institusi pendidikan luar negara yang berminat dan yakin untuk menubuhkan pusat pengajian mereka di negara kita. Program-program berkembar mereka dengan institusi pendidikan tempatan, telah berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 
          Fenomena yang menggembirakan ini tidak mungkin dapat dijelmakan dan dikekalkan jika kesedaran ke arah kualiti dan kecemerlangan di kalangan kita tidak disuburkan. Usaha-usaha yang berterusan hendaklah digembleng melalui perancangan dan pelaksanaan pendidikan yang sistematis di sekolah-sekolah. Guru memainkan peranan yang penting dan haruslah menjadi penggerak utama kepada kecemerlangan pendidikan. 
Dengan cara itu, masyarakat akan melihat dan mengiktiraf profesion keguruan sebagai profesion yang tinggi dan mulia serta menjadi penyumbang utama ke arah pembangunan negara. 
Akhirnya, saya mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Guru' dan mendoakan semoga sumbangan dan khidmat bakti para guru sentiasa diberkati dan dirahmati Allah Subhanahu Wataala. 
Dengan itu, dan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah bagi tahun 1998. 
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 


 
Home