Make your own free website on Tripod.com

Membuka halaman web melalui e-mel

BUKAN semua orang dapat mencapai Internet. Kebanyakan pengguna di Malaysia mengenalinya di pejabat, melalui akaun korporat, melalui server proksi yang selalunya dipasang pelbagai penapis.

Selalunya juga, mesin yang dipasang kemudahan Internet terletak di meja bos. Jadi adalah tidak selesa bagi kita duduk di meja bos untuk membaca surat khabar percuma atau mencari fail.

Begitu pun, sesetengah pejabat memberikan pekerjanya kemudahan emel, sama ada dengan menggunakan akaun emel korporat atau mengizinkan kita menggunakan alamat emel percuma seperti di Yahoo.com atau Rocketmail.com. Ini kerana e-mel dianggap tidak membuang masa dan satu keperluan, sekurang-kurangnya untuk pelanggan berhubung dengan kita.

Minggu ini kita akan membincangkan bagaimana pengguna biasa seperti di atas dapat menggunakan emel untuk mendapatkan halaman web, sama seperti melungsur secara langsung menggunakan program browser seperti Opera atau Netscape.

Untuk mendapatkan halaman web melalui emel, kita gunakan apa yang digelar server Agora. Server ini tugasnya mengambil halaman web dan memberikan kepada orang yang memintanya.

Tugas pertama kita ialah untuk mendapatkan alamat sebuah server agora. Ini kita buat menggunakan ilmu yang diperturunkan minggu lalu - bagaimana menggali intan dalam Internet.

Cari "agora" kita pasti diberikan beberapa alamat server agora di seluruh dunia. Setelah mendapatkan alamat e-melnya, bolehlah kita menggunakannya untuk mendapatkan halaman web yang kita mahu. Ada tiga arahan penting yang boleh kita berikan kepada agora. Pertama, send, kedua deep, dan ketiga source.

Contoh emel untuk setiap suruhan seperti berikut:


To: agora@ (alamat penuh)

Subject: (kosongkan)

send http://www.jaring.my/bharian/wed/index.htm


Arahan ini akan membuat agora menghantar indeks surat khabar percuma Berita Harian Online edisi hari ini kepada kita dalam bentuk teks sepenuhnya. Bagi sesetengah orang membaca indeks itu sudah cukup. Tapi jika kita hendak membaca juga setiap berita yang ada dalam indeks itu berikan arahan berikut:


To: agora@ (alamat penuh)

Subject: (kosongkan)

deep http://www.jaring.my/bharian/wed/index.htm


Agora akan menghantar kepada kita setiap halaman yang dihubungkan oleh fail index.htm tadi. Awas! Pada hari biasa Berita Harian Online menghidangkan kira-kira 70 laporan. Semua 70 laporan itu akan dihantar kepada alamat e-mel anda. Arahan ini juga memberikan naskhah format teks.

Jika kita tidak selesa membaca halaman web dalam bentuk naskhah biasa dan mahukannya dalam bentuk html- nya, berikan arahan berikut:

source http://www.jaring.my/bharian/wed/index.htm

Kemudian kita bolehlah membaca halaman itu secara luar talian menggunakan Opera atau Netscape. Sebenarnya kita boleh memberikan lebih daripada satu suruhan menggunakan cara ini. Mungkin satu arahan source Berita Harian Online, satu lagi deep Jurusalem Post dan satu lagi send Tempo Online.

Apabila halaman itu tiba, pindahkan ke PC kita dan buka Opera atau Netscape yang kita pasang untuk membaca halaman web luar talian.

Dipetik Dari Komputer Berita Harian

[ Sebelumnya ]